Wednesday 12 April 2017

Perut ibu mengandung besar dan tegang, mungkin tanda baby ada masalah perut. Bukan sebab mengandung baby boy.

Ada seorang ibu ni datang dengan perut yang agak besar dari sepatutnya. Dia baru 32 minggu, tetapi perutnya agak besar dari sepatutnya. Bila ditanya, katanya sebab mengandung anak lelaki, memang perut besar sedikit. mengikut kata orang tuanya.

Sukar mempercayai kenyataan tersebut, doktor tersebut terus melakukan beberapa pemeriksaan kepada ibu mengandung tersebut. Didapati air ketuban dalam kandungan ibu tersebut sangat tinggi, 28 berbanding 8-20 yang sepatutnya. Pemeriksaan lain mendapati ibu mempunyai bacaan gula yang normal, jadi dia tidak menghidap kencing manis yang biasa menyebabkan air ketuban banyak. Berat bayi dalam kandungan juga normal.

Keadaan ini menyebabkan ibu tersebut dirujuk kepada Pakar Sakit Puan.

Semasa temujanji dengan pakar, ujian ultrasound dilakukan sekali lagi dan menunjukkan jumlah air ketuban yang tinggi. Dan pemeriksaan lanjut juga mendapati struktur perut bayi yang tidak normal. Laluan dari perut ke usus kecil adalah sangat sempit dan kelihatan seperti tiada laluan langsung. Doktor pakar tersebut menerangkan kepada ibu tentang keadaan tersebut, keadaan itu berkemungkinan besar adalah apa yang disebut Duodenal Atresia.

Duodenal atresia adalah satu keadaan dimana pembentukan saluran makanan yang menghubungkan perut ke usus kecil tidak terbentuk dengan sempurna, menyebabkan laluan tersebut menjadi tersumbat. Oleh kerana itu, bayi tidak dapat menelan air ketuban menyebabkan air ketuban menjadi banyak dalam rahim ibu. Secara normalnya, bayi akan menelan air ketuban dalam kuantiti tertentu dan menyebabkan jumlah air ketuban sentiasa dalam keadaan normal. Namun itu tidak berlaku dalam kes seperti ini.

Komplikasi akibat polyhydramnios (air ketuban yang banyak) tadi adalah seperti, risiko bersalin awal, jadi pemantauan rapi perlu dilakukan.

Selepas lahir pula, bayi akan dipantau dan jika disahkan mengalami Duodenal Atresia, pembedahan perlu dilakukan dalam beberapa hari pertama dilahirkan dan perlu berada dalam NICU untuk jangka masa yang lama.

Kami doakan ibu tersebut tabah dengan dugaan ini.

Poliklinik Az-Zaara
Pusat Penjagaan Antenatal Pilihan Anda
03-42663686/011-52300300





No comments:

Post a Comment